Aku Mahu...
Mahu apa?
Mahu dikasihi Allah.
Kasihilah dirimu dan kasihilah orang lain.
Aku mahu jadi segagah-gagah manusia.
Sentiasalah menyerah diri kepada Allah.
Aku Mahu...
Mahu apa lagi?
Aku mahu jadi manusia paling baik.
Jadilah manusia yang baik dan berguna kepada masyarakat.
Tapi apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian-Nya.
Apakah pula sebesar-besar kejahatan?
Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.
Itulah pelbagai runtunan hati kita yang meronta-ronta mencari kepuasan.
Sebagai makhluk yang dibekalkan nafsu, hati dan akal, manusia akan
sentiasa berkeinginan. Sama ada ingin jadi baik atau sebaliknya. Mahu
kumpul pahala atau dapat seksa. Namun, Allah yang bersifat dengan sifat
Ar-Rahman dan Ar-Raheem, sentiasa membuka peluang kepada manusia untuk
membuat pilihan. Segala-galanya terpulang pada kita untuk memilih
berlandaskan syariat yang ditetapkan.
Manusia yang dibekalkan dengan agama sebagai pegangan dan panduan hidup,
semestinya akan lebih mampu mempertahankan apa yang berharga dalam
hidupnya. Keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam sebagai cara hidup
adalah suatu yang mutlak. Tetapi tingkah laku dan tindakan Muslim itu
sendiri sering kali mencemari keindahan Islam dan mencacatkan
kesempurnaannya.
Memiliki gelaran sebagai seorang Muslim bukan sekadar catatan pengenalan
semata-mata. Tetapi kesempurnaan beragama akan tergambar dengan
peribadi Muslim yang benar-benar mengikut apa yang diajarkan. Sebagai
umat yang terbaik, seorang Muslim semestinya memiliki peribadi yang
berteraskan garis panduan al-Quran dan sunnah. Namun, ia bukanlah hanya
bergantung pada ibadah khusus semata-mata, kerana sebagai makhluk
bernyawa yang pasti akan menemui mati, sudah tentu akan ditanya ke mana
dihabiskan usia kita selama hidup di dunia ini?
Setiap manusia sudah pasti akan menelusuri perjalanan hidup yang
ditetapkan untuknya. Namun, sepanjang tempoh itu apakah dia benar-benar
menjadi seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar dan memperoleh
keberuntungan.
Lima Profil Manusia Beruntung....
1. Akidah yang sejahtera
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu
dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman
serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.
Berpaksikan fakta ini, tentunya akidah Islamiyah sahaja yang memiliki
kemampuan demikian dan membuatkan manusia mempunyai ikatan yang kuat
dengan Allah SWT. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki
peraturan dan pegangan yang mampu membangunkan sistem kehidupan manusia
kepada suatu ketamadunan yang tinggi.
Sejarah membuktikan, dengan keunggulan ajaran dan aqidah Islam telah
membentuk tamadun yang hebat suatu ketika dahulu. Hal ini kerana,
potensi semula jadi manusia jika dimantapkan dengan bekalan ilmu yang
dimiliki, mampu dikembangkan dengan baik sekiranya berteraskan akidah
kepada Allah SWT. Sebaliknya, krisis nilai akan berlaku apabila
pemikiran dan pegangan manusia dibangunkan dengan keruntuhan akhlak dan
tidak berpaksikan kepada peraturan serta disiplin berteraskan akidah
Islam. Keruntuhan tamadun akan berlaku apabila manusia tidak berpegang
sepenuhnya kepada Islam sebagai ad-Din. Akidah, syariat dan akhlak
adalah saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.
Jika diumpamakan seperti sebatang pokok, akidah sebagai akar umbi,
syariat merupakan dahannya dan akhlak adalah sebagai buahnya. Natijah
daripada memiliki akidah yang sejahtera akhirnya akan berjaya membentuk
manusia yang benar-benar hidup sebagai seorang Muslim sejati.
2. Bermanfaat untuk orang lain
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada
kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah;
dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan
orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nur:22)
Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan fenomena
sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk berfikir lebih
jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap Muslim perlu
sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang dapat
dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini amat
penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang bahagia
seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam segenap aspek
kehidupan.
Memberi manfaat bererti kebaikan menjalar kepada orang lain melalui
pelbagai cara yang berlandaskan syariat. Sekiranya setiap Muslim
menggunakan segala kemampuan yang dipinjamkan oleh Allah untuknya, sudah
pasti mereka akan menjadi umpama pokok yang rimbun dan berbuah lebat.
Tidak dinafikan, pengislahan itu bukan senang dan nilainya bukan
calang-calang. Dengan hambatan-hambatan yang ada dalam proses pembinaan
insan, ia mampu melemahkan kekuatan diri untuk terus memanfaatkan diri
sendiri kepada ummah. Namun, jika semua Muslim berpegang dan berperanan
dalam segenap ruang lingkup kehidupan, nescaya negara yang disebut
sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan
mendapat keampunan Allah SWT), tidak mustahil dapat dikecapi.
Hakikatnya, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat
kepada manusia yang lain. Maka, beruntunglah diri mereka yang sentiasa
bermanfaat.
3. Ibadah yang benar
Tuntaskan ibadah yang merupakan kewajipan kita sebagai hamba-Nya di muka
bumi ini kerana ia adalah ‘tiket’ untuk kita ke syurga. Ibadah yang
benar-benar terbaik adalah ibadah yang dilakukan semata-mata bagi
mendapat keredhaan Allah SWT dengan berbekalkan pemahaman serta
penghayatan yang tinggi.
Allah telah menukilkan dalam surah al-Dzariyat ayat 56 melalui
firman-Nya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”Ayat
ini jelas mengingatkan kita, ibadah itu merupakan tanggungjawab manusia
kepada Allah SWT sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam. Ia perlu
dihayati dan difahami secara benar dan tidak menyimpang kepada
unsur-unsur yang menyesatkan.
Melalui ibadah, akan melahirkan hati-hati yang patuh dan tunduk serta
kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT. Ini kerana skop ibadah amat
luas. Semua perkara yang diizinkan oleh Allah itu adalah ibadah. Ia
merangkumi segenap aspek kehidupan yang mana akhirnya akan mewujudkan
insan yang menjalani kehidupan untuk memperoleh keredhaan Allah SWT
semata-mata.
4. Bijak menjaga masa
Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah
pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat
melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh
tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya,
tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus
masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan.
Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud,
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)
Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa
mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada
gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang
adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri
sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa
dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu
dibahagikan?
· Bilakah masa beribadah kepada Allah?
· Bilakah masa bersama keluarga?
· Bilakah masa bekerja?
· Bilakah masa bersama masyarakat?
· Bilakah masa belajar?
· Bilakah masa makan?
· Bilakah masa berehat?
Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika
sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang
semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan
sebarang kemanfaatan? Oksigen yang Allah berikan secara percuma tanpa
perlu bayar walau satu sen pun ini, bukanlah untuk disedut begitu
sahaja. Allah pinjamkan bekalan oksigen supaya kita dapat hidup dengan
sejahtera dan melangsaikan segala amanah yang telah kita janjikan dengan
sebaiknya.
Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah tabiat
suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada di
waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada
pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat
engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”
5. Akhlak yang mantap
Akhlak atau tingkah laku, perangai, tabiat, dan adat kebiasaan merupakan
sifat, perbuatan atau tindakan yang dizahirkan dengan mudah tanpa perlu
dipaksa. Ia bertapak utuh di dalam diri dan menjadi cerminan manusia
dalam menilai baik buruk suatu perbuatan atau amalan.
Sedarkah kita, akhlak akan mempengaruhi penentuan kedudukan timbangan
amalan seseorang di akhirat kelak? Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,
“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba
pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah
murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.”
(Riwayat At-Tirmidzi)
Akhlak melambangkan imej seorang Muslim yang sebenar dan seterusnya
dapat memperkasakan keindahan Islam. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak
yang mulia itu merangkumi empat perkara iaitu, bijaksana, memelihara
diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian(menundukkan kekuatan hawa
nafsu) dan bersifat adil. Ia jelas merangkumi segala sifat baik dalam
kehidupan kita umpamanya hidup bersilaturrahim, mempertahankan agama
dengan berani, berbakti kepada keluarga dan negara, senantiasa
bersyukur, sabar, redha dengan ujian, jujur, bercakap benar, dan
sebagainya.
Secara tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah, harta yang paling
menguntungkan adalah SABAR. Maka, berapa banyakkah sabar yang kita
miliki? Teman yang paling akrab adalah AMAL. Maka, akrabkah kita dengan
amal? Pengawal peribadi yang paling waspada adalah DIAM. Maka, sejauh
manakah peribadi kita dikawal? Bahasa yang paling manis adalah SENYUM.
Maka, maniskah bahasa kita? Ibadah yang paling indah tentunya KHUSYUK.
Maka, setinggi mana keindahan ibadah kita? Adakah kita selama ini
menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang benar-benar beruntung?
Sumber:Jomdakwah